BONGKAR !!! BAHAYANYA MENAHAN AIR KENCING [MESTI BACA...]
Bahaya Tahan Air Kencing |
SEKALIPUN terpaksa menghadiri mesyuarat penting atau memandu untuk jarak yang
jauh, menahan air kencing bukanlah satu tindakan yang bijak. Air yang ditahan
itu hakikatnya kotoran beracun yang perlu dikeluarkan daripada badan.
Menurut Pakar Urologi,
Kesihatan Lelaki dan Pembedahan Robotik, Pusat Perubatan Prince Court, Datuk
Dr. Sahabudin Raja Mohamed, menahan diri daripada membuang air kecil akan
memberi kesan negatif kepada kesihatan.
Namun, perkara itu mempunyai
kesan yang berbeza mengikut jantina dan usia.
“Kanak-kanak yang menahan
kencing terlalu lama boleh menyebabkan masalah besar. Tidak kira lelaki mahupun
perempuan, ia boleh meningkatkan kejadian jangkitan saluran kencing.
“Dalam kes yang lebih buruk, ia
akan mengakibatkan inkontinens iaitu masalah hilang kawalan untuk menahan
kencing,” kata Sahabudin.
Masalah itu menyebabkan
penghidap tidak mampu menahan kencing daripada terkeluar sendiri terutamanya
ketika batuk, bersin atau meneran.
Seseorang juga sukar untuk
menahan kencing sehingga dia boleh terkencing di mana-mana sahaja sebelum
sempat pergi ke tandas.
Antara tanda-tanda seseorang
itu mendapat masalah inkontinens adalah sering berasa tidak puas ketika
membuang air kecil atau aliran air kencing yang lemah.
Masalah itu boleh terjadi
kepada mereka yang mengalami kerosakan ginjal, uretra yang tersumbat ataupun
kerosakan saraf akibat diabetes.
Dalam pada itu, Sahabudin
menjelaskan, membuang air kecil sebanyak di antara lima hingga enam kali sehari
merupakan situasi yang normal.
Namun, mereka yang membuang air
kecil melebihi lapan kali sehari menunjukkan keadaan yang sebaliknya.
“Kencing kurang daripada lapan
kali sehari merupakan keadaan yang normal. Urin mereka akan berwarna jernih
seperti air paip,” ujarnya.
Pundi kencing yang berfungsi
secara normal ditunjukkan apabila seseorang membuang air kecil dalam tempoh
tiga hingga empat jam sekali iaitu tidak lebih lapan kali sehari.
Mereka yang normal akan
membuang air kecil hanya sekali pada waktu malam.
Jelas Sahabudin lagi,
mengurangkan minum air masak bagi mengelakkan seseorang itu kerap ke tandas
adalah satu tindakan yang salah.
Mereka tidak seharusnya
mengurangkan pengambilan air kerana bahan tersebut penting kepada tubuh bagi
mengelakkan dehidrasi.
“Jangan mengurangkan kuantiti
air yang diminum. Sebaliknya pergilah berjumpa dengan doktor untuk mengatasi
masalah itu.
“Jika terdapat jangkitan,
pesakit perlu dirawat terutamanya mereka yang mengalami pundi kencing terlalu
aktif,” katanya lagi.
Antara tanda kencing terlalu
aktif adalah sukar menahan kencing, kencing tidak puas, pergi ke tandas
melebihi 10 kali sehari dan berlaku kebocoran jika menahannya.
Masalah ini boleh terjadi lebih
kerap dalam kalangan wanita muda. Seseorang yang menghadapi masalah ini akan
membuang air lebih daripada 10 kali sehari serta tidak dapat menahan kencing.
Antara kaedah yang boleh
digunakan untuk mengatasi masalah itu adalah senaman otot untuk mengawal
kencing, latihan pundi kencing dan penggunaan ubatan.
Jelas Sahabudin, masalah
tersebut sering berlaku akibat kesibukan kerja yang mengundang masalah malas ke
tandas selain ketiadaan kemudahan tandas yang bersih.
Sementara itu, melakukan
aktiviti seperti memandu sambil menahan air kencing boleh mengundang bahaya.
Perbuatan menahan kencing didapati mempunyai kesan yang sama dengan keracunan
alkohol atau tidak tidur selama 24 jam secara berterusan.
“Apabila manusia sampai kepada
titik kesakitan, mereka tidak mampu berfikir dan membuat keputusan lagi. Ia
sama seperti mabuk,” kata profesor neurologi di Universiti Brown di Providence,
Pulau Rhode, Amerika Syarikat (AS), Peter Snyder.
Kajian Synder bersama kumpulan
penyelidiknya itu memenangi kategori perubatan anugerah Ig Nobel anjuran
majalah Annals of Improbable Research (AIR) di AS baru-baru ini. Ig Nobel
memberikan anugerah untuk pelbagai kajian yang dianggap melucukan tetapi
kemudian membuatkan orang mula berfikir.
No comments:
Post a Comment